Puasa di bulan Rejab berdasarkan Quran dan Sunnah
6:54 PM | Author: Amirul Mukminin
Berkenaan dengan puasa di bulan rejab





Shaikh Yusuf al-Qaradhawi:

a) Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:[4]

Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki keutamaan.

b) Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:

Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran…..semua ini adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan. Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.

c) Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.

Shaikh al-Sayid Saabiq:

Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:[5]

Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.

Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.


Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?

Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:[6]

Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”

Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.


Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:[7]

Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.


Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:[8]

Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.

Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh" selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).

Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.[9]

Kesimpulan

1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[10]

2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).

3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.

4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.

_____________________________________

Nota Kaki:

[1] Budiman Radzi - Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar: Muzakkir Enterprise, 1990.

[2] Tafsir al-Jalalain. Harf.com. (URL: http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp)

[3] Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab.

(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249)

[4] Fatwa IslamOnline - Kesahihan Fadilat Rejab.

(URL : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308)

[5] Fiqh al-Sunnah (Beirut: Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995. Cetakan khas dari manar Al-Dauliyah), jld. 1, ms. 596.

[6] Al-Fatawa (Kaherah: Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000), ms. 371

Sanad hadis ini dha‘if, rujuk Musnad Ahmad yang disemak oleh Shaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan, hadis no: 1322 (Musnad ‘Ali bin Abi Thalib). Walaubagaimana ia memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1163 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan Puasa pada bulan Haram) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” (Hafiz Firdaus)

[7] Majmu' Fatawa (Riyadh: Dar Al-Watan, 1996) ms. 269

[8] Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab

(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1310)

[9] Untuk memudahkan kefahaman para pembaca, orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:

1. Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.

2. Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.

3. Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab. Ini bukanlah sunnah.

4. Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini bukanlah sunnah.

5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab.

6. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya. (Hafiz Firdaus).

[10] Kenapakah ia satu bentuk pendustaan? Rujuk risalah berikutnya berjudul Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya.
kisah penjual tempe...
4:58 PM | Author: Amirul Mukminin
Apa saja ketentuan dari Allah SWT ada hikmahnya. Janganlah berputus asa jika doa kita tak dimakbulkannya kerana mungkin ada hikmah di sebalik apa yang telah dikurniakan kepada kita walaupun ianya bukan kehendak kita.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, "Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin."

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang itu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi, "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin."

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi?

Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walau bagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa, "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin." Lalu dia pun berangkat.

Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe.

Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe , tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita, "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin."

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?"

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan.

Moral

Pertama : Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua : Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan.

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU, menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan...

“Ketika Allah memberimu, Dia memperlihatkan kepadamu belas kasih-Nya. Ketika Dia menolak memberimu, maka Dia memperlihatkan kepadamu kekuasaan-Nya. Dan dalam semua itu, Dia memperkenalkan diri-Nya kepadamu dan menghadapmu dengan kelembutan-Nya.”

Renung-renungkan!